div dir="ltr" style="text-align: left;" trbidi="on">

Thursday 12 December 2013

NGO Serah Memorandum Kepada Menteri Besar


KUALA TERENGGANU – Tiga buah Badan Bukan Kerajaan (NGO) mewakili anak-anak negeri Terengganu telah bertemu dengan Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said bagi menyerahkan satu memorandum.

Mereka terdiri daripada Persatuan Anak Terengganu DiPerantauan (PERANTAU), Pertubuhan Kemajuan Ekonomi Rakyat Terengganu Darul Iman (PEKERTI) dan Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI).
NGO serah memorandum3Wakil-wakil NGO itu, Presiden PEKERTI Mohd Shuhaimi Embong, Exco PERANTAU Zulkifli Abdul Razak dan Setiausaha GANTI Rusni Hassan telah menyerahkan memorandum tersebut di Lobi Dewan Undangan Negeri Terengganu Wisma Darul Iman di sini pada Rabu 11 Disember.

Menurut Mohd Shuhaimi memorandum tersebut bertujuan memohon pihak Ahmad Said selaku Ketua Eksekutif kerajaan menyelesaikan empat perkara berhubung pembangunan negeri, dengan tindakan yang baik sesuai slogan kerajaan, ‘Merakyatkan Pentadbiran Dan Pembangunan’.

Dibawah disertakan lampiran salinan Memorandum yang diserahkan kepada Menteri Besar itu;

Memorandum Kepada Menteri Besar Terengganu YAB Dato’ Seri Haji Ahmad Bin Said
__________________________________________________________________

Memorandum ini ditujukan kepada YAB Dato’ Seri Menteri Besar Terengganu Darul Iman memohon respon kepada kebimbangan rakyat Terengganu amnya dan penduduk yang berkepentingan khasnya di atas tindakan dan keputusan kerajaan negeri terhadap empat (4) perkara utama, iaitu:-
1) Pembangunan semula Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu;
2) Pembangunan kawasan Ladang dan penempatan semula di Ladang Gemilang;
3) Projek tambakan di Muara Sungai Terengganu; dan
4) Penganiayaan terhadap peniaga-peniaga runcit kecil dan sederhana tempatan akibat daripada keputusan dan tindak-tanduk kerajaan memberi ruang kepada peniaga hyper Market gergasi dari luar.

Kami percaya bahawa YAB Dato’ Seri Menteri Besar sebagai Ketua Eksekutif kerajaan Negeri Terengganu mempunyai pengaruh secara langsung mahupun tidak langsung melalui ajensi-ajensi kerajaan kepada perkara-perkara yang disebut di atas.

Kami berdoa semoga penyelesaian dan tindakan yang baik daripada YAB Dato’ Seri Menteri Besar dapat menjamin keselamatan, kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Negeri Terengganu sekarang dan juga generasi akan datang selaras dengan slogan ‘Merakyatkan Pentadbiran Dan Pembangunan’ yang dilaung-laungkan.

Maka penjelasan dan komitmen YAB Dato’ Seri Menteri Besar di dalam perkara tersebut amat-amat dipohon bagi menyelesaikan kebimbangan dan ketidak-tentuan nasib rakyat Terengganu.

1. Pembangunan semula Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu.

Dato’ Menteri Besar telah pada awal tahun 2013 mengumumkan bahawa Pasar Besar Kedai Payang akan dibangunkan semula melalui pengswastaan dengan jumlah keseluruhan pembangunan sebanyak RM400 juta. Pemaju diberitakan akan membina hotel dan apartmen 23 tingkat bernilai RM80 juta kepada kerajaan.
Walau bagaimanapun pembangunan keseluruhan Pasar Besar Kedai Payang akan melenyapkan warisan sejarah dan identiti Kedai Payang sendiri yang telah menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negeri sejak lebih 100 tahun lagi.

Peniaga-peniaga kecil terutamanya peniaga barangan basah yang telah menjalankan perniagaan sejak turun temurun akan kehilangan mata pencarian setelah diarahkan mengosongkan pasar berkenaan bagi memberi laluan pembagunan tersebut.

Isu keselamatan tidak boleh dijadikan alasan untuk pembangunan keseluruhan facade bangunan yang mengubah identiti Pasar Kedai Payang itu sendiri. Sekiranya kerajaan benar-benar ingin memajukan Pasar Kedai Payang, kerja-kerja baik-pulih dalaman terutama di bahagian perniagaan basah boleh dilakukan tanpa mengubah struktur asal yang mejadi mercu-tanda Pasar Kedai Payang sendiri. Apa yang dibimbangi pembangunan yang tidak terkawal oleh pihak swasta akan melenyapkan warisan Negeri Terengganu dengan begitu sahaja.

Persatuan Pelancong Negeri Terengganu pernah memberi pandangan supaya identiti Pasar Kedai Payang yang menjadi ikon pelancongan dikekalkan dimana sebagai contoh Bazar Warisan yang dibina bersebelahan Kedai Payang kurang mendapat sambutan berbanding dengan Pasar Kedai Payang sendiri.
Pemaju yang dianugerahkan projek ini dikatakan tidak berdaya saing dan merupakan pemaju yang bermasaalah.

Dengan ini kami memohon penjelasan YAB Dato’ Menteri Besar tentang persoalan berikut:-

a) Mengapakah pandangan Persatuan Pelancong Negeri Terengganu dan peniaga-peniaga sendiri tidak diambil kira oleh kerajaan sebelum keputusan dibuat?
b) Apakah status pembangunan Pasar Kedai Payang setelah didapati pemaju bermasaalah hutang yang begitu banyak yang berkemungkinan besar boleh menyebabkan pembangunan terganggu?
2. Pembangunan kawasan Ladang dan penempatan semula di Ladang Gemilang

Kerajaan Terengganu pada tahun 2010 melalui Akta Pengambilan Tanah telah
mengambil alih perkampungan melayu di kampong Ladang melalui Pelan Tindakan Khusus Ladang Tanjung Kuala Terengganu.

YAB Menteri Besar terdahulu telah berjanji menawarkan rumah murah melalui konsep sewa-beli di Pangsapuri Ladang Gemilang di mana penduduk diberi kemudahan membayar ansuran bulanan untuk setiap unit yang diduduki sehingga jumlah sewaan itu memenuhi harga unit yang dijual.

Walau bagaimana pun selain jawapan lisan, penduduk masih menunggu bukti hitam putih yang menjamin hakmilik penghuni di sana.

Setakat ini penduduk diarahkan menanda tangani surat penjajian sewa selama tiga tahun. Dengan kadar sewa sebanyak RM300-00 sebulan bagi setiap unit kos rendah, setiap keluarga terpaksa mendiami unit sempit dan tidak selesa tanpa mempunyai kemudahan asas yang sempurna. Manakala unit bersebelahan dikenakan kadar sewa sebanyak RM750-00 sebulan. Kadar ini juga tinggi jika dinilai dengan kemudahan dan keluasan unit yang ditawarkan.

Perkara ini telah dibawa kepada pengetahuan Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri pada awal tahun ini dan beliau memberi jaminan bahawa penduduk akan diberi hak-milik kekal. Jumlah bayaran sewa yang dibayar akan dikira sebagai bayaran ansuran rumah mengikut perjanjian sewa-beli.

Kini setelah perjanjian sewaan tamat pada 31hb Oktober 2013, status milikan penduduk masih menjadi tanda-tanya. Apa yang dibimbangkan, dengan suasana kos barangan semakin meningkat, kadar sewa akan dinaikkan melalui perjanjian baru.

Baru-baru ini, para penduduk telah diberi borang soal selidik yang mengelirukan. Ramai penduduk merasa bimbang sekiranya milikan mereka akan hilang dan mereka hanya dibenarkan menyewa unit-unit di Ladang Gemilang dengan kadar sewa yang lebih tinggi.

Persoalannya adalah:-
a) Mengapa status milikan penghuni di Ladang Gemilang tidak disahkan secara bertulis melalui surat perjanjian sewa beli?
b) Apakah jaminan kerajaan bahawa perjanjian sewa-beli akan ditanda-tangani setelah perjanjian sewaan telah tamat?
c) Apakah jaminan kerajaan bahawa bayaran sewa beli tidak dinaikkan?
d) Apakah bayaran sewa selama tiga tahun melalui perjanjian asal akan dikira sebagai bayaran milikan yang telah dijanjikan sebelum ini?
e) Apakah langkah kerajaan negeri bagi memberi keselesaan yang sewajarnya kepada penghuni di Ladang Gemilang?
f) Apakah tujuan borang kaji-selidik yang mengelirukan dan bagaimana kerajaan boleh memberi jaminan status sewa beli akan dikekalkan?
3. Projek tambakan di Muara Sungai Terengganu

Kerajaan melalui konsep ‘Design & Build’ telah menganugerahkan kontrak tambakan di muara sungai Terengganu secara runding terus. Projek tambakan muara sungai ini adalah lanjutan kepada projek membina kondominium 30 tingkat dan hotel 20 tingkat di atas tapak Pasar Kedai Payang yang akan dirobohkan.
Jika sebelum ini kita telah menyaksikan projek mendalamkan muara yang melibatkan kerja-kerja membina benteng ombak yang terbesar di Asia tenggara bernilai hampir RM500 juta bagi tujuan laluan perkapalan.

Akan tetapi, dengan projek tambakan muara sungai yang rancak dijalankan, ternyata benteng pemisah ombak menjadi tidak efektif lagi. Ini tidak termasuk cadangan jambatan pintas Kuala Terengganu – Seberang Takir yang mana bahagian tengah jambatan mempunyai mekanisme yang boleh diangkat untuk laluan kapal.
Mengikut syarat kelulusan yang dibuat oleh Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS), satu kajian ‘Detailed Hydraulic Study’ mesti dilakukan bagi memastikan projek yang dibuat tidak mengganggu sistem pengaliran air di muara sungai.

Walau-bagaimanapun, khidmat JPS yang telah menentang kerja panambakan tersebut telah diambil alih oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan malangnya kerja penambakan terus dilakukan tanpa ‘Detailed Hydraulic Study’.

Antara kebimbangan kita dengan kerja-kerja penambakan yang melibatkan kawasan seluas 140 ekar di Seberang Takir dan 40 ekar di Tanjung akan menyempitkan muara sungai, membahayakan penduduk sekitar dan boleh menyebabkan keseluruhan bandaraya Kuala Terengganu tenggelam. Dengan pemanasan global mengakibatkan cuaca tidak menentu kita bimbang apa yang telah berlaku di Filipina, China dan Vietnam akan berulang di negeri kita ini.

Maka, kami memohon penjelasan YAB Dato’ Menteri Besar mengenai perkara-perkara berikut:-

a) Mengapakah projek berisiko ini dianugerahkan secara runding terus melalui konsep ‘Design & Build’, walhal kerja penambakan muara sungai memerlukan pemantauan khusus oleh jabatan teknikal kerajaan?
b) Mengapakah tugas pengurusan dan penyeliaan projek diserahkan kepada JKR bukannya JPS?
c) Apakah jaminan kerajaan tentang kemampuan JKR melaksanakan pemantauan sedangkan mereka tidak mempunyai kepakaran dan alatan mengenai pengairan, seperti JPS, apatah lagi kita menyaksikan runtuhan demi runtuhan di bawah penyeliaan JKR?
d) Mengapakah kerajaan negeri telah mengabaikan keperluan mengadakan ‘Detailed Hydraulic Study’ yang membawa kepada mutu kerja yang tidak terkawal, berisiko dan mengancam keselamatan di muara Sungai Terengganu?
e) Di manakah rasional membina tembok pemisah yang menelan belanja yang besar dalam masa yang sama kerja-kerja penambakan dilakukan di muara sungai?

4. Penganiayaan terhadap peniaga-peniaga runcit kecil dan sederhana tempatan akibat daripada keputusan dan tindak-tanduk kerajaan memberi ruang kepada peniaga ‘Hyper Market’ gergasi dari luar.

Baru-baru ini kita digemparkan berita bahawa, sebuah syarikat hyper runcit tempatan yang telah bertapak di Kuala Terengganu selama 17 tahun bakal menghadapi risiko hilang punca pendapatan setelah menghadapi masalah birokrasi dengan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

Syarikat hyper runcit ini menjadi contoh kepada peruncit tempatan dengan berdiri megah di antara gergasi pemborong-pemborong hyper runcit besar lain yang terdapat di negeri ini. Mereka bukan sahaja milik bumiputera tempatan, malah menyediakan pekerjaan kepada kesemua kakitangan melayu Islam tempatan seramai 550 orang.

Syarikat ini selama ini berjaya menyaingi syarikat peniagaan borong ‘hyper market’ luar samada Giant, Mydin dan sebagainya secara sihat. Mereka juga membantu industri kecil tempatan dengan memasarkan barang keluaran mereka di pasaraya mereka.

Kami ingin menyarankan Syarikat yang telah bertapak lama ini harus dibantu bukannya dihadirkan dengan berbagai kesukaran untuk mematuhi kerenah Majlis Bandaraya.

Keputusan membenarkan lambakan pasaraya di Kuala Terengganu tidak mengikut garis panduan pembangunan pasaraya di sesuatu kawasan yang memerlukan jumlah penduduk seramai 350,000 orang.

Sebagai contoh kerajaan telah membenarkan pasaraya Giant dan Mydin dengan jarak yang terlalu hampir di kawasan yang telah dihuni hyper runcit yang lain di Bukit Kecil, jumlah penduduk yang diperlukan 1 juta orang, menyamai jumlah penduduk seluruh Negeri Terengganu.

Apa yang telah terjadi di Bukit kecil tidak diambil iktibar kerajaan dengan terus membenarkan situasi yang sama di Wakaf Tembusu.Malah tanah milik syarikat yang sama telah diancam dengan pengambilan tanah oleh kerajaan untuk memberi laluan kepada projek Bandar Baru Perkasa Alam.

Ini tidak termasuk layanan istimewa terhadap peniaga luar sehingga mengancam peniaga-peniaga runcit kecil-kecilan tempatan yang lain. Sekiranya syarikat yang telah bertapak lama pun terpaksa mengharungi kesukaran akibat saingan luar dan kerenah birokrasi kerajaan tempatan, adalah tidak pelik kita menyaksikan kepupusan peniaga kecil akibat kesukaran memasarkan barangan mereka. Jika sekiranya kita bimbang kepada nasib tidak menentu peniaga di Pasar Besar Kedai Payang, nasib para peniaga di Pasar Chabang Tiga pun mengalami nasib yang sama apabila pasar tersebut pun akan dirobohkan.

Di sebalik kegairahan kerajaan mengejar pembangunan dengan membawa gergasi luar menjana ekonomi negeri, faktor survival anak watan dan peniaga tempatan perlu menjadi pertimbangan dalam polisi kerajaan. Apakah pembangunan yang akan dikecapi dapat memberi impak positif peniaga tempatan dan keseluruhan masyarakat? Mengikut kajian ‘Pekali Gini” yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan, jurang pendapatan terus melebar dari tahun ketahun dan situasi ini amat kami bimbangi hasil kekayaan negeri dibolot oleh golongan kaya.

Pertindanan kawasan antara pembinaan tapak perniagaan industri kecil dan sederhana dengan pasaraya gergasi seperti di Wakaf tembusu akan menelan peniaga kecil di Pasar Batu Enam yang berdekatan.
Maka kami memohon penjelasan YAB Dato’ Seri Menteri Besar kepada perkara-perkara berikut:-

a) Mengapakah syarikat hyper runcit tempatan tidak diberi ruang untuk mereka bersaing secara sihat dengan syarikat pemborong hyper market gergasi dari luar?
b) Mengapakah garis panduan yang ditetapkan tidak dipatuhi sehingga lambakan pasaraya di Bandar Kuala Terengganu?
c) Apakah tindakan kerajaan bagi memastikan peniaga-peniaga runcit di Negeri Terengganu tidak terancam daripada percambahan ‘hyper market’ gergasi dari luar?
Memorandum ini disampaikan bersama pada hari Rabu 11 hb Disember 2013 oleh:-
1. Persatuan Anak Terengganu DiPerantauan (PERANTAU)
2. Pertubuhan Kemajuan Ekonomi Rakyat Terengganu Darul Iman (PEKERTI)
3. Gabungan Anak Terengganu Insaf (GANTI)
Melalui sokongan Ahli Parlimen Kuala Terengganu
Diserahkan kepada YAB Menteri Besar Terengganu pada 11 Disember, 2013 di Lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu

0 comments:

Post a Comment